Thursday, March 8, 2007

Sambutan Hari Raya Aidilfitri




Amalan pada Hari Raya di Malaysia
Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan.
Apabila tarikh Hari Raya telah ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid dengan memuji kebesaran Allah. Tempoh takbir pada Hari Raya ialah terbenam matahari hari terakhir bulan Ramadan sehingga solat sunat Hari Raya pada pagi 1 Syawal.
Simbol terkenal bagi perayaan Hari Raya di Malaysia ialah ketupat. Ketupat adalah juadah istimewa yang dihidangkan pada hari ini. Ketupat adalah nasi yang dikukus di dalam anyaman daun kelapa atau daun palas dan selalunya dihidangkan bersama dengan rendang. Juadah-juadah yang lain termasuklah lemang, lontong, dodol dan kuih raya.
Di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah. Berminggu-minggu sebelum hari tersebut menjelma, suasana persiapan menjelang Aidilfitri telah dirasai. Pusat-pusat membeli-belah akan mengadakan jualan murah dan dihiasi dengan perhiasan secara besar-besaran. Lagu-lagu raya juga akan diputarkan di radio dan di televisyen, rancangan-rancangan yang berkisarkan Aidilfitri akan ditayangkan. Bank, sekolah dan premis-premis perniagaan akan ditutup selama beberapa hari sehingga seminggu sempena Aidilfitri. Di jalan-jalan raya utama dan lebuhraya di seluruh negara, kesesakan akan berlaku akibat kebanjiran warga bandar yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama sanak saudara dan kaum keluarga. Fenomena ini juga dikenali sebagai Balik Kampung.
Antara amalan yang dilakukan pada Hari Raya ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Al-Fatihah atau bacaan surah Ya-Sin. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
Amalan memberi wang kepada kanak-kanak juga amat popular pada Hari Raya. Duit raya selalunya diberikan oleh orang tua kepada kanak-kanak dalam sampul duit yang selalunya berwarna hijau. Pada malam Tujuh Likur, pelita atau lampu minyak tanah akan dinyalakan terutamanya di kampung-kampung. Kadangkala pelita akan digantikan dengan penggunaan lampu elektrik kerana ia lebih bersih dan praktikal, namun keaslian sambutan Hari Raya selalunya akan berkurang dengan penggunaan ini.
Rumah-rumah terbuka akan diadakan pada Hari Raya itu sendiri dan sepanjang bulan Syawal. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga sebulan, dan kemeriahan itu akan hilang dengan sendirinya apabila semua orang mulai pulang daripada cuti.

No comments: